#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 16 June 2014

Cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Di Kedah Masih Di Fasa Awal


ALOR SETAR - Cadangan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa zon utara di Kedah masih dalam peringkat awal.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan surat kepada Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan itu yang akan menyediakan perkhidmatan kargo dan penumpang.

Menurutnya, perkara itu berada dalam pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbincangan lanjut akan diadakan dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan.

“Kerajaan negeri mengemukakan cadangan kepada kerajaan persekutuan untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk zon utara di Kulim iaitu sempadan Kulim-Sungai Petani.

“Tawaran kami ialah menyediakan bidang tanah yang luas, seluas 6,000 hektar dan mampu menampung dua landasan untuk kargo dan penumpang,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Beliau berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu adalah bagi menampung keperluan pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang yang semakin terhad dan
permintaan tinggi daripada pengguna.

“Kita lihat permintaan pengangkutan itu semakin meningkat dan bekalan dari lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang akan menjadi semakin terhad pada masa akan datang.

“Dengan keperluan kargo dan penumpang yang semakin hari semakin bertambah dan kita tahu Pulau Pinang mempunyai tanah yang terhad, lapangan terbangnya tak boleh dikembangkan lagi,” katanya.

Mukhriz berkata, Kedah kini mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Beliau berkata, kewujudan lapangan terbang itu akan membantu merancakkan ekonomi di zon utara termasuk selatan Thailand.

“Kami yakin projek ini akan menjadi pencetus pertumbuhan ekonomi seluruh zon utara bukan hanya untuk Kedah malah Perlis, Pulau Pinang dan Perak serta Selatan Thailand,” katanya. -Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...