#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 4 February 2016

Ahmad Bashah Angkat Sumpah #MBKedah Ke-12


ALOR SETAR: Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah angkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-12 di Istana Anak Bukit, di sini, sebentar tadi.

Ahmad Bashah, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bakar Bata melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Yang turut hadir dua lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


Hadir sama pada majlis itu ADUN dan Anggota Parlimen Kedah serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga ADUN Ayer Hitam, tidak kelihatan pada majlis itu.

Semalam, Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz berkuat kuasa hari ini. Ia susulan pengumuman peletakan jawatan Mukhriz yang telah hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri ini.

Ahmad Bashah adalah antara pemimpin UMNO negeri yang paling kanan apabila menjadi ADUN Bakar Bata (dahulu Alor Merah) untuk lima penggal sejak 1995. Beliau juga pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama dua penggal sejak 1999 hingga 2008.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, Ahmad Bashah dilantik sebagai Senator dan juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Beliau telah melepaskan kedua-dua jawatan itu semalam selepas diumumkan menjadi Menteri Besar Kedah. Beliau berkahwin dengan Datin Seri Hizam Awang Ahmad dan dikurniakan empat puteri. -Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...