#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 23 February 2016

Exco Kedah Janji Setia Kepada #MBKedah Baru


Alor Setar - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah bersemuka dengan setiap anggota Exco Kerajaan Negeri sebelum membuat keputusan untuk mengekalkan mereka yang pernah berkhidmat di bawah era pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pertemuan itu, kata beliau, mereka masing-masing menyatakan komitmen dan jaminan untuk memberi kerjasama dengan ikhlas serta menyokongnya sebagai Menteri Besar Kedah.

"Sokongan ini perlu kerana kita nak bergerak sebagai satu pasukan daripada Kerajaan Negeri Kedah. Setiap Exco berjanji untuk memberi kerjasama dan akan setia bersama saya. Perkataan setia itulah yang akan dilihat oleh seluruh rakyat Kedah," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Menurutnya, komitmen itu akan diterjemahkan dalam bentuk tugas dan tanggungjawab bukan sahaja oleh anggota Exco tetapi kesemua 21 Adun BN Kedah untuk melaksanakan amanah yang diberikan rakyat.

"Saya nak pastikan supaya apa juga peranan Exco, mestilah beri  tumpuan dalam memenuhi janji-janji manifesto BN semasa PRU13," katanya.

Sebelum sidang media itu, semua anggota Exco Kerajaan Kedah semasa pentadbiran Mukhriz mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini. Istiadat angkat sumpah bermula kira-kira jam 10.30 pagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Speaker Dun Kedah, Datuk Md Rozai Safian dan Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Hussain serta beberapa Adun BN. Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam tidak kelihatan.

Ahmad Bashah mengesahkan hampir kesemua portfolio Exco berkenaan dikekalkan dan hanya berlaku sedikit pindaan kepada beberapa Exco. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...