#PrayForMH370

#PrayForMH370

Friday 5 February 2016

Kemelut Di Kedah Mencerminkan Budaya Politik Kita


SHAH ALAM – Veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat bahawa kemelut politik di Kedah menggambarkan ketamakan ahli politik Umno terhadap jawatan nombor satu di negeri berkenaan.

Bekas Ketua Wanita Umno itu berkata, episod penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah yang berakhir semalam menunjukkan politik untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk rakyat.

“Kemelut di Kedah mencerminkan budaya politik kita. Budaya politik untuk kepentingan diri sendiri.

“Menjatuhkan orang lain untuk merebut kedudukan. Inilah yang dikatakan tamak. Tamak terhadap kuasa untuk kekuasaan,” katanya ketika dipetik menerusi Facebooknya, semalam.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pemimpin Umno seharusnya bersatu dan bukannya mengamalkan budaya politik memecah belah.

“Biar menang sorak...kampung tergadai. Biar parti hancur, asal hasrat peribadi tercapai.

“Ke mana nak dibawa jawatan, pangkat dan kuasa? Apa ertinya jawatan kalau tidak untuk bekerja dan menunaikan tanggungjawab?'' katanya.

Rafidah juga mempersoalkan mengapa pemimpin Umno di negeri itu tidak mahu bekerja sama bagi mengukuhkan parti.

“Kenapa tidak bekerjasama dalam pasukan dan melengkapi antara satu sama lain untuk mengumpul kekuatan bagi mencapai kejayaan dalam memberi perkhidmatan?,” katanya.

Rafidah berkata, kerajaan seharusnya lebih serius dalam menyelesaikan kemelut yang melanda negara dan bukannya berterusan mewujudkan lebih banyak penipuan dalam politik.

“Tolonglah serius. Negara ini tidak mahu lagi penipuan politik. Cukuplah dengan pelbagai isu sebelum ini. Baiki segala kerosakan yang telah berlaku,” katanya. -SinarOnline

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...