#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 3 February 2016

Krisis Kedah: BN Berisiko Hilang Pengundi Muda


SHAH ALAM – Penganalisis politik menjangkakan Umno-BN bakal kehilangan sokongan pengundi muda dalam PRU14 di Kedah susulan krisis melibatkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sedang berlaku.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, situasi yang melanda Umno Kedah hari ini membuatkan orang muda di negeri itu tersinggung.

“Saya rasa memang ada kemungkinan besar berlaku keadaan itu (hilang sokongan pengundi muda). Sebelum ini pun kita lihat sambutan terhadap Mukhriz ketika hadir ke stadium berjumpa ramai orang muda dan kita tahu dulu masa PRU13, apabila dia umum sebagai menteri besar, ada berlaku ‘swing’ yang agak besar dalam kalangan pengundi muda yang menyokong BN ketika itu.

“Kalau lihat dalam konteks itu, secara umumnya kita tahu keadaan yang berlaku sekarang ini akan menyebabkan sokongan orang muda akan beralih sedikit. Jika beliau dipecat, sokongan itu akan beralih tapi kita tidak pasti sama ada mereka ini (pengundi muda) menyokong pembangkang ataupun membuat undi protes ataupun tidak keluar mengundi pada PRU14,” katanya kepada Sinar Online.

Baru-baru ini, 14 daripada 15 Ketua Umno Bahagian Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merayu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah dan mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Mohd Azizuddin turut mengakui di Kedah tiada pemimpin yang dapat menandingi ketokohan yang ada pada anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, buat masa ini.

“Mukhriz pun kita tahu bukan sepenuhnya pengaruh dia yang mendapat sokongan...pengaruh bapanya juga mainkan peranan yang kuat. Jadi, kalau pemimpin yang lain nak naik, mungkin mengambil masa juga untuk mencapai tahap (Mukhriz) tapi boleh.

“Sebab pemimpin muda selalunya...dalam kajian sebelum ini, kecenderungan pengundi muda akan menyokong calon muda, jadi, kalau letak contohnya pengganti kepada Mukhriz, seorang yang muda juga, ada potensi untuk dia menjadi ikon juga kepada Kedah. Tapi kalau letak pemimpin yang senior, agak susahlah,” katanya.

Menurutnya lagi, pemimpin lain perlu mencari mekanisme yang unik untuk menarik golongan muda selain meneruskan pendekatan yang diamalkan Mukhriz selama ini.

“Mukhriz tidak menonjolkan diri, dalam berpakaian pun biasa sahaja, pergi pasar malam, masuk dalam masyarakat untuk jumpa orang, media sosial juga digunakan, tapi pendekatan dia lebih banyak bersemuka...jumpa orang di bawah.

“Jadi, rakyat ini mahukan perhatian. Jika ada pemimpin bagi perhatian, mereka sukalah. Jadi, itu kelebihan yang ada pada Mukhriz. Orang lain kena buat begitu jugalah, mungkin ada cara yang lebih menarik untuk menarik orang di peringkat bawah. Mereka kena fikir mekanisme untuk tarik orang muda dan saya rasa orang muda akan tertarik jika kena caranya,” katanya.

Turut senada dengannya, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),Prof Madya Dr Jeniri Amir yang melihat bukan sahaja orang muda, malah perkembangan di Kedah ini juga tidak disenangi rakyat pelbagai peringkat usia.

“Yang pasti bukan sahaja pengundi muda yang tidak senang hati dengan segala perkembangan dan krisis yang berlaku di Kedah ini kerana mereka rasa apa yang berlaku sekarang tidak sepatutnya berlaku. Mukhriz ini seorang pemimpin yang bukan sahaja popular dalam kalangan golongan berumur tapi juga dalam golongan muda.

“Sedikit sebanyak apa yang menimpa Mukhriz ini akan memberi kesan terhadap bagaimana pola pengundian dan sokongan pengundi muda kerana Mukhriz ini dianggap sebagai pemimpin muda yang dinamik, faham aspirasi golongan muda dan dapat diyakini boleh membawa aspirasi mereka,” katanya.

Oleh itu katanya, jika segala krisis yang berlaku ini tidak ditangani dengan berkesan, ia pasti akan memberi impak kepada PRU14.

“Jika krisis ini berlarutan dan sekiranya Mukhriz digugurkan sebagai menteri besar, golongan muda mungkin akan beralih angin. Harus diingat kemenangan BN di Kedah sebelum ini, sebahagiannya adalah disebabkan oleh faktor Mukhriz.

“Mukhriz ketika itu berada di taraf populariti yang begitu tinggi disebabkan oleh pembawaan beliau itu sendiri dan juga pembaharuan yang cuba dibawa oleh beliau. Itu yang menyebabkan BN berjaya menumbangkan Pas. jadi, sebahagian sokongan itu dari orang muda,” katanya. -SinarOnline

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...