Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tiada ada yang lebih menyedihkan
Dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir, dipersenda dan dilupakan
Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih asalkan langkah itu yakin dan cermat
Bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara
Air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan
Mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera
Menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya?
Hingga bangsaku merasa begitu kecil dan rendah diri
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam
Dan sejarah gemilang membina empayar
Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
Kerana hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
Tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya
- Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)
Tok Kenari : Hayati setiap bait puisi yang pernah dideklamasikan oleh Mantan Perdana Menteri yang membawa erti yang amat bermakna dan mendalam, satu pesanan daripada seorang negarawan unggul kepada kita.. Puisi ini akan sentiasa relevan sepanjang zaman kerana Tun M sendiri pernah berkata "Melayu Mudah Lupa"
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..