#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 3 February 2013

Kisah Perak Gambaran Malaysia Jika BN Kalah


TUN Dr. Mahathir Mohamad dalam wacana bertajuk Masa Depan Melayu dan Islam Selepas PRU-13 baru-baru ini membawa audiens merenung nasib bangsa sekiranya Melayu yang merupakan rakyat majoriti di negara ini, terus hilang kuasa.

Tajuk sama juga pernah dibincangkan secara ringkas di ruangan ini menerusi dua artikel berbeza beberapa bulan lalu. Hakikatnya, orang Melayu dan kuasa amat berkait rapat dalam mencorakkan wajah sebuah negara bernama Malaysia.

Tidak dinafikan sejarah memainkan peranan penting sebagai panduan atau sempadan kepada setiap tindakan yang bakal dilakukan. Sama ada perkara ini diberi penekanan atau sebaliknya, terpulang kepada individu itu sendiri.

Namun kita percaya, setiap apa yang berlaku ada hikmah tertentu. Malah, kita juga percaya bahawa kemenangan pakatan pembangkang ke atas lima buah negeri dalam pilihan raya umum 2008, iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang telah memberi banyak kesedaran kepada pihak pentadbir sedia ada.

Kesannya, banyak tindakan telah diambil oleh kerajaan dalam usaha memperbetulkan semula kesilapan yang berlaku. Apa yang pasti, usaha ini dilihat telah dilakukan bersungguh-sungguh terutama oleh pucuk pimpinan.

Sebagai rakyat atau pengundi, tiada apa yang lebih menggembirakan selain mendapat perhatian daripada pihak yang diberikan kepercayaan serta harapan.


Di sebalik sejarah kekalahan lima negeri tersebut, sebelum Perak berjaya dikembalikan semula kepada Barisan Nasional (BN) berikutan beberapa wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, mungkin masih ramai beranggapan apa yang berlaku sekadar `permainan politik.'

Kisah Perak sewajarnya dijadikan teladan oleh semua orang Melayu di negara ini. Perak merupakan contoh terbaik kerana landskap politik dan populasi penduduknya adalah berada paling dekat untuk menggambarkan wajah Malaysia.

Jika kita masih ingat, Perak yang didominasikan oleh DAP, telah melantik wakil Pas sebagai Menteri Besar. Pelantikan ini mungkin adalah sebahagian daripada janji yang dipersetujui kedua-dua parti sebelum mereka bersedia untuk bekerjasama sebagai sebuah pakatan selain Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam masa sama, wakil Pas terpaksa dilantik kerana undang-undang negeri mensyaratkan hanya Melayu sahaja boleh menduduki kerusi Menteri Besar Perak.

Pun begitu, apa yang berlaku di Perak selama 11 bulan pakatan pembangkang memerintah, tidak seperti diharapkan oleh orang Melayu. Hampir setiap keputusan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, seolah-olah hanya mengutarakan suara DAP. Pas dan PKR terpaksa menjadi penyokong setia. Keadaan ini kerana Exco DAP melebihi suara Exco Melayu yang mewakili Pas dan PKR.


Lebih membimbangkan, sejak `mendapat kuasa' (walaupun setiap keputusan melalui suara Pas sebagai Menteri Besar), DAP semakin rakus dan melupakan janji-janjinya. Orang Melayu bukan sahaja terbiar tetapi terus tertinggal.

Dalam konteks lebih besar, `janji' ini juga yang dicanangkan oleh DAP kepada rakyat Malaysia keseluruhannya jika pakatan pembangkang dipilih untuk menggantikan BN dalam pilihan raya umum akan datang. 

Meskipun bukan dalam kalangan wakil Pas seperti di Perak, mereka berjanji, Perdana Menteri yang akan dilantik juga seorang Melayu. Malah, nama individu tersebut telah diuar-uarkan sejak merasakan matlamat mereka semakin hampir.

Mengambil kira perkembangan ini, tiada apa yang boleh diharapkan orang Melayu jika pakatan pembangkang benar-benar menang. Terlalu sukar sebenarnya untuk bergantung harap kepada Pas dan PKR berdasarkan pengalaman lalu.


Maka, jika dengan apa yang berlaku di Perak dan situasi politik hari ini, orang Melayu masih tidak kisah tentang siapa yang memerintah, jangan disalahkan generasi akan datang jika mereka juga tidak bijak membuat pilihan.

Artikel dipetik dari Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...