#PrayForMH370

#PrayForMH370

Saturday, 20 April 2013

Ini Kali Lah, DAP Ganti PAS



Ketulenan Pas dalam memperjuangkan Islam di negara ini disifatkan tergadai sekiranya lambang parti itu digunakan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Aktivis Pas, Mohd. Khairi Awang berkata, perkara itu amat mengecewakan akar umbi parti kerana Pas dilihat sanggup mengorbankan banyak agenda Islam demi menjaga persahabatan dengan DAP.

"Mungkin juga perkara ini berada dalam perancangan DAP, selama ini Pas bercita-cita menggantikan UMNO tetapi tanpa disedari, DAP pula menggantikan Pas.

"Ini adalah peluang terbaik untuk DAP menyusup masuk ke dalam Pas dan menguasai parti itu, kesudahannya, Pas menang sorak tetapi kampung tergadai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyuarakan hasrat DAP menggunakan lambang Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu berikutan siasatan masih dijalankan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kontroversi kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada 15 Disember tahun lalu.

Sementara itu, aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, Pas tidak sepatutnya terjebak dengan masalah dalaman DAP kerana parti tersebut boleh menggunakan simbol Bebas yang sama untuk semua calonnya.

Tegas beliau, adalah amat mengecewakan sekiranya lambang 'bulan' yang menjadi simbolik kepada perjuangan Islam Pas dijadikan alat kepada DAP untuk mendapat kuasa politik.

"Nampak sangat Pas diperalatkan dan dieksploitasi DAP, tetapi perkara yang lebih menghairankan saya kenapa Pas sanggup mengabaikan prinsip Islam demi menjaga kepentingan politik.

"Kita berharap Pas berfikir dahulu semasak-masaknya, jangan terlalu mengikut nafsu politik sehingga prinsip perjuangan Islam itu sendiri tergadai," katanya. -Utusan

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...