ALOR SETAR 26 April - Tiga ahli politik dijangka diheret ke mahkamah tidak lama lagi kerana dipercayai mendalangi pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka terdiri daripada dua pemimpin popular dari Semenanjung dan seorang dari Sabah. Namun, beliau enggan mendedahkan nama ketiga-tiga pemimpin tersebut.
Menurut Ahmad Zahid, pihaknya mempunyai maklumat terkumpul mengenai penglibatan pemimpin-pemimpin itu, namun bukti-bukti kukuh dari segi perundangan sedang diusahakan bagi membolehkan mereka dibawa ke muka pengadilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Kita mengambil tindakan undang-undang dan semua maklumat itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kalau ambil tindakan secara yang lain, kita akan dianggap bermain politik," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, aktiviti keluarga Jamalul Kiram III, pemimpin kumpulan pengganas yang bertanggungjawab dalam insiden pencerobohan berkenaan dipercayai dibiayai pihak tertentu untuk kepentingan politik.
Katanya, adalah mustahil Jamalul yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu dari segi kewangan dapat menggerakkan tenteranya serta anaknya, Jacel ke merata-rata tempat menggunakan jet peribadi.
"Persoalannya siapa yang membiayai mereka. Dalang-dalang itu kita telah kenal pasti dan kita akan cari mereka sampai ke lubang cacing. Siapa yang pergi berunding dengan Kiram (Jamalul)? Dua orang pemimpin politik dari Semenanjung, tetapi saya tidak mahu sebut nama sebab ada pemberita, nanti dia saman saya. Ada seorang ahli politik dari Sabah yang dihantar lebih awal. Kita ada bukti, tunggu," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, ketiga-tiga pemimpin itu dihantar kerana dijanjikan jika pembangkang menang pilihan raya umum kali ini, Sabah akan diserahkan kepada 'Sultan' Jamalul dan akan mendapat 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) untuk Kesultanan Sulu. -Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..