Penasihat DAP, Lim Kit Siang, disifatkan sebagai ahli politik ‘touch n go’ kerana amalan suka berpindah-randah kawasan Parlimen setiap kali pilihan raya umum (PRU).
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata berdasarkan rekod, Kit Siang tidak pernah berada di sesuatu kawasan untuk tempoh lama kerana dia bertanding bukan untuk berkhidmat kepada rakyat yang memberi mandat, sebaliknya demi kelangsungan partinya.
“Jika dilihat pada rekodnya, dia tidak akan kekal pada sesuatu kerusi yang dimenanginya. Secara dasarnya, dia adalah ahli politik ‘touch n go’,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Kenyataan itu bagi mengulas pengumuman Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kit Siang akan menjadi calon DAP bagi merebut kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU-13.
Soi Lek berkata, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu sehingga kini sudah bertanding sebanyak 10 kali dengan rekod tujuh kemenangan dan tiga tewas.
Beliau berkata, Penasihat DAP itu juga hanya akan bertanding di kawasan selamat yang mana majoritinya terdiri daripada pengundi Cina, walaupun parti terbabit sering melaungkan yang mereka memperjuangkan hak kesamarataan antara kaum.
Sementara itu, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R Ramanan, berkata tindakan Kit Siang bertanding merebut kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU-13, jelas menunjukkan bahawa pembangkang tidak menghormati keputusan rakyat.
“Kita dapat melihat bahawa pembangkang tidak konsisten, sebaliknya pendirian mereka selalu berubah, apakah tanggungjawab mereka kepada rakyat dan apakah sumbangan mereka kepada rakyat.
“Pendekatan Barisan Nasional (BN) amat berbeza dengan pembangkang, kerana wakil rakyat BN sentiasa turun padang bertemu rakyat dan mendengar masalah mereka, bukannya mengabaikan kebajikan rakyat,” katanya.
Bekas Ketua Bahagian DAP Sepang, R Vellasamy meminta rakyat supaya tidak terus terpengaruh dengan janji pembangkang, sebaliknya memberi peluang kepada BN untuk berkhidmat.
“Sebelum ini, rakyat khususnya di Selangor tahu apakah janji pembangkang kepada mereka dan kini mereka bangkit dan menuntut janji itu, jika wakil rakyat juga sering berubah maka rakyat tiada pilihan lagi selain menolak pembangkang,” katanya. -Berita Harian
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..