Ketika kemarahan umum terhadapnya semakin meluap, Tian Chua tidak mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan Umno dengan pencerobohan sepasukan pengganas ke atas Lahad Datu, Sabah.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Naib Presiden PKR itu menegaskan beliau mahu membela diri bagi membersihkan namanya atas tuduhan yang dianggap sebagai berunsur politik.
Dalam waktu yang sama Pengarah Komunikasi parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, mahu kerajaan menggugurkan tuduhan yang dikenakan ke atas anggota Parlimen Batu itu kerana menganggap Tian Chua telah menjadi mangsa media.
Ada baiknya perkara ini dibawa ke muka pengadilan. Ini adalah ruang untuk yang dituduh membela diri. Selama ini orang ramai menunjukkan perasaan meminta tindakan dikenakan ke atas YB Batu.
Sekarang beliau telah dibawa ke mahkamah, maka biarkan undang-undang menentukan semuanya.
Dengan mengheret Tian Chua ke muka pengadilan, harap-harap tidak ada lagi tunjuk perasaan ‘kaw-kaw’ seluruh negara yang setiap hari mendapat liputan istimewa media elektronik.
Kalau masih menunjuk perasaan dan terus disiarkan di media, takut nanti timbul pula persepsi bahawa tunjuk perasaan itu pun satu sandiwara.
Cukup-cukuplah bergaduh politik, lagi pun kita sudah dekat sangat hendak mengundi.
Belum habis kes Tian Chua, timbul pula satu lagi kontroversi berhubung insiden berdarah di Negeri Bawah Bayu itu.
Kali ini tidak dicetuskan oleh orang politik tetapi oleh seorang guru di Negeri Serambi Mekah.
Seperti yang dilaporkan media, guru berusia 37 tahun itu bertugas di sebuah sekolah di Tok Bali, Pasir Putih, telah menulis dalam Facebook bahawa kesemua anggota pasukan keselamatan yang terkorban di Sabah ‘adalah anjing-anjing yang mati katak.’
Sampainya hati beliau menulis demikian. Tidakkah dia mengikuti perkembangan di Lahad Datu? Apakah guru ini buta kayu? Pertiwi kita diserang oleh pengganas bersenjata dan pasukan keselamatan kita bermandi darah mempertahankan kedaulatan, tiba-tiba dituduh sebagai ‘anjing’.
Kalau guru jenis ini pun ada di sekolah kita, apa yang kita harapkan daripadanya untuk membimbing anak-anak kita? Polis telah menahan guru berkenaan untuk siasatan di bawah seksyen 41 (B) Akta Hasutan 1948.
Tian Chua telah dihentam keras menerusi tunjuk perasaan di seluruh negara. Apakah guru yang menuduh wira kita sebagai ‘anjing’ juga akan mendapat tentangan massa seperti Tian Chua?
Atau, apakah sebab guru berkenaan bukan ahli politik pembangkang, maka tindakannya tidak dianggap biadab dan tidak perlu tunjuk perasaan? Atau, apakah ini juga satu sandiwara?
Sejak tsunami politik lima tahun dulu, kita sudah melihat banyak sandiwara. Kalau boleh difilemkan dan disirikan dalam TV, sepanjang tahun kita tidak habis menonton, mungkin lebih hebat daripada siri ‘Ombak Rindu’ atau ‘Adam dan Hawa’.
Kita sudah mengenali watak-watak utama dalam episod-episod sandiwara politik. Macam dalam TV dan filem, watak-watak yang sama boleh melakonkan peranan berbeza. Sekali jadi hero, sekali jadi penyangak.
Sama seperti sandiwara dalam skrin, sandiwara politik pun ada pelbagai watak. Ada watak pengkhianat, watak alim, watak alim kucing, watak kaki sakau, watak kelakar, watak air mata, watak kaki putar alam, hatta watak pondan pun ada.
Plot atau jalan cerita dilakar oleh penulis skrip yang juga bertindak sebagai pengarah, juru solek, juru lampu, dan juru-juru lain. Ada ketikanya watak biasa hendak melawan pengarah, lalu dia disingkirkan atau mengundur diri dari team sandiwara.
Tidak kira apa plot, siapa pelakon dan pengarah, sandiwara ini hanya menunjukkan ego, tamak haloba, rakus, dan kebodohan yang nyata. Hentikanlah sandiwara politik sebab orang ramai sudah muak menontonnya.
Akhir kalam, musim ribut, sebatang pohon tinggi melangit di tepi jalan membimbangkan saya sekeluarga. Kalau pokok itu tumbang, pasti ranap rumah saya. Saya menelefon Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Saya diberitahu, aduan saya akan disiasat dalam masa sehari dua ini. Tetapi tindakan untuk menebang hanya akan dibuat setelah sebulan siasatan. Sebulan? Pasti rumah saya ranap dulu. Ini bukan sandiwara!
*hasil nukilan Tok Perak di Sinar Harian. sumber
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..