Gambar Hiasan |
Percaya atau tidak, anak luar nikah didaftarkan setiap 17 minit 17 saat! Ini adalah petanda akhir zaman apabila seks bebas bermaharajalela.
Menurut laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 300,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 - 2012. Ini bermakna, secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 83.3 kes setiap hari.
Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Ini amat menggerunkan kerana menurut statistik JPN hampir 50 peratus yang dilahirkan itu adalah anak orang ISLAM.
Negeri Selangor mencatatkan jumlah kelahiran anak luar nikah yang paling tinggi dengan purata 12,800 orang setiap tahun (catatan sejak tahun 2000) dan disusuli dengan Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Pahang.
Di Mana Silapnya?
Ramai berpendapat kepesatan pembangunan di beberapa negeri tersebut mendesak kebanyakan penghuni miskin berlumba-lumba mencari rezeki dengan mengetepikan sistem kekeluargaan, apatah lagi aspek keagamaan dalam Islam yang melarang berzina.
Zina berleluasa tanpa batasan tempat dan waktu, mengakibatkan ramai wanita Islam tidak bimbang mahupun rasa bersalah apabila melahirkan anak luar nikah.
Lebih menggerunkan lagi, laporan Unicef mendapati remaja Islam berusia di antara 13 hingga 19 tahun dikenalpasti menjadi penyumbang utama kepada fenomena peningkatan kadar kelahiran anak luar nikah di Malaysia. Fenomena ini amat membimbangkan individu, keluarga, masyarakat dan negara dalam membina negara bangsa beretika dan rakyat yang mempunyai jati diri.
Ia tidak selari dengan cabaran keempat yang digariskan dalam mencapai Wawasan 2020 bagi mewujudkan masyarakat yang bermoral, beretika, warganegara yang kukuh nilai agama dan kejiwaan serta mempunyai etika paling tinggi.
Tercicir Sekolah Punca Salah Laku Seks
Kajian Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM mendapati kepesatan pembangunan kawasan bandar dan pinggirannya menyebabkan ramai remaja Islam yang tercicir dalam arus pendidikan moden dan agama.
Situasi mendesak menyebabkan mereka bekerja apa saja tanpa mengira halal atau haram dan akhirnya terjerat dengan aktiviti salah laku seksual termasuk hamil luar nikah.
Ramai gadis desa yang tercicir pendidikan berhijrah ke ibu kota yang menjanjikan hamparan masa depan yang indah dan lumayan. Malangnya mereka terjebak ke lembah maksiat dan menambahkan kadar kelahiran anak luar nikah.
Gadis kota turut terjebak sama lantaran ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki tanpa menyediakan waktu secukupnya untuk memantau pergaulan anak-anak, akibatnya ramai remaja terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral dan bertentangan dengan agama Islam.
Pergaulan di luar sekolah juga mendorong ramai remaja Islam menjadi hamba seks, ada yang berbuat demikian sekadar hendak berhibur, manakala tidak kurang juga mahu dimandikan dengan kemewahan wang ringgit.
Ramai remaja Islam beranggapan seks bebas adalah amalan biasa, manakala kelahiran anak luar nikah atau menggugurkan janin adalah fenomena biasa yang perlu ditempuh oleh remaja elit di kawasan metropolitan.
Bercinta Di Dunia Siber
Kajian UKM juga mendapati pengaruh dunia siber amat kuat untuk membentuk peribadi negatif remaja kerana semua yang mereka perlukan boleh ditemui dengan mudah dalam laman sesawang dan telefon bimbit.
Rasa ingin tahu remaja terhadap sesuatu perkara bagi tujuan mendewasakan diri dapat dicapai dengan melayari laman sosial. Mereka juga tidak menghadapi masalah untuk menyertai mana-mana kelab dan kumpulan sebaya untuk memenuhi nafsu serakah masing-masing.
Tidak kurang juga remaja Islam gemar mengamalkan zina, sekaligus mengenepikan institusi perkahwinan yang sah kerana mereka tidak mahu terbelenggu dengan perbelanjaan tinggi disebabkan kehendak budaya tempatan.
Tiada Pendidikan Islam Di Rumah
Kebanyakan ibu bapa hanya memberi asas pendidikan Islam di rumah seperti solat dan puasa, sedangkan hal-hal lain diserahkan kepada pihak sekolah untuk meneruskan pendidikan tersebut.
Ibu bapa menggunakan alasan kesibukkan bekerja sebagai modal melarikan diri daripada bertanggungjawab terhadap pembentukan sahsiah anak-anak mereka. Lantaran itu, remaja Islam mudah terjebak dengan pengaruh persekitaran terutama cara hidup masyarakat bukan Islam yang kebanyakannya mengamalkan hubungan kelamin sebelum berkahwin (pre-maritial sex).
Lebih mengejutkan lagi apabila ada remaja Islam masa kini mengisyaratkan bahawa 'seks pengenalan' diperlukan sebelum pasangan membuat keputusan untuk meneruskan hubungan ke peringkat lebih serius termasuk berkahwin.
Bagaimana Atasi Fenomena Ini?
Profesional, cendekiawan dan agamawan 'kelam-kabut' memberi pelbagai pandangan mengenai kaedah membendungnya, tetapi masing-masing tidak menunjukkan kesungguhan untuk membantu membentuk disiplin remaja ke arah kebaikan.
Mereka hanya meletakkan garis panduan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa, sekolah, institusi agama tetapi tidak begitu serius melakukan usaha secara bersama-sama.
Mereka hanya meletakkan sempadan keinsafan yang perlu datang dari remaja berkenaan tetapi tidak bersungguh-sungguh berusaha menyelamatkan remaja yang sesat jalan dan tidak tahu mencari jalan pulang!
Tok Kenari: Jadi, apa nak jadi dengan golongan muda Melayu/ Islam sekarang?
No comments:
Post a Comment
Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..